Logo
Registration

TERMA-TERMA DAN SYARAT-SYARAT BAGI PERMOHONAN SEBAGAI PELABUR SOLAR PV BERDAFTAR DI BAWAH PROGRAM NET-ENERGY METERING (NEM) OLEH SEDA MALAYSIA

  1. Pendaftaran syarikat sebagai Pelabur Solar PV Berdaftar di bawah Program NEM oleh SEDA Malaysia adalah tertakluk kepada Terma-terma dan Syarat-syarat serta Kod Etika yang perlu dipatuhi oleh Pelabur Solar PV Berdaftar.
  2. Permohonan ini hanya dibuka kepada syarikat tempatan atau asing yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di bawah Akta Syarikat 2016 [Akta 777] yang mempunyai alamat berdaftar dan alamat perniagaan di Malaysia.
  3. Bagi syarikat tempatan, pemohon perlu mempunyai modal berbayar minimum sebanyak Ringgit Malaysia: Satu Juta (RM1,000,000.00) manakala syarikat asing pula perlu mempunyai modal berbayar minimum sebanyak Ringgit Malaysia: Sepuluh Juta (RM10,000,000.00).
  4. Syarikat asing perlu mematuhi syarat-syarat seperti berikut:
    1. hanya boleh mengambil bahagian bagi projek solar PV di bawah program NEM berkapasiti melebihi 250 kWac sahaja;
    2. memastikan sekurang-kurangnya 80% pekerja syarikat adalah pekerja tempatan; dan
    3. mempunyai 100% kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) tempatan dengan melantik Pembekal Perkhidmatan Solar PV Berdaftar dengan SEDA Malaysia.
  5. Permohonan hendaklah dibuat secara atas talian melalui portal SEDA di www.seda.gov.my dan pemohon perlu mengemukakan borang manual beserta dokumen-dokumen yang sokongan yang diperlukan dan di hantar ke alamat dibawah:

Application as Registered Solar PV Investor under NEM Programme

SEDA Malaysia
Galeria PjH
Aras 9, Jalan P4W
Presint 4, Persiaran Perdana
62100 Putrajaya
Email:
RET@seda.gov.my

 

Muat turun Borang Manual Di sini

 

  1. Permohonan ini adalah tertakluk kepada kelulusan SEDA Malaysia. SEDA Malaysia hanya akan memproses permohonan yang disertakan dengan dokumen-dokumen sokongan yang lengkap. Lawatan ke pejabat pemohon akan diadakan dan merupakan salah satu proses bagi tujuan pengesahan (jika perlu).
  2. Bagi setiap permohonan yang diluluskan, pemohon diminta membuat pembayaran yuran tahunan dan penyenaraian akan dibuat setelah pembayaran yuran tersebut dijelaskan. Penyenaraian adalah untuk tempoh tidak melebihi satu (1) tahun.
  3. Yuran tahunan yang akan dikenakan adalah sebanyak Ringgit Malaysia: Tiga Ribu (RM3,000.00) sahaja bagi syarikat tempatan dan US Dolar: Dua Ribu Lima Ratus Sahaja (US$2,500.00) bagi syarikat asing.
  4. Penyenaraian adalah sah sehingga 31 Disember tahun yang sama. Setiap pemohon perlu memperbaharui permohonan beserta yuran tahunan bagi tahun berikutnya.
  5. Pelabur Solar PV Berdaftar boleh mengemaskini maklumat yang terkandung dalam Direktori berkenaan tertakluk kepada kelulusan SEDA Malaysia dengan yuran sebanyak Ringgit Malaysia: Dua Ratus (RM200.00) sahaja bagi setiap akses untuk mengemaskini maklumat syarikat.
  6. SEDA Malaysia berhak untuk meluluskan atau menolak permohonan syarikat sebagai Pelabur Solar PV Berdaftar di bawah Program NEM oleh SEDA Malaysia dan keputusan yang dibuat oleh SEDA Malaysia adalah muktamad. SEDA Malaysia juga berhak menyingkirkan Pelabur Solar PV Berdaftar daripada Direktori tersebut jika perkara-perkara seperti berikut berlaku:
    1. SEDA Malaysia mendapati maklumat yang dikemukakan adalah palsu, tidak tepat, tidak lengkap dan/atau menimbulkan keraguan;
    2. SEDA Malaysia menerima sebarang aduan berkenaan apa-apa salah laku Pelabur Solar PV Berdaftar; atau
    3. SEDA Malaysia memikirkan perlu atau wajar untuk Pelabur Solar PV Berdaftar dikeluarkan daripada Direktori demi memelihara kepentingan pihak-pihak yang akan menggunakan perkhidmatan mereka. Apabila mana-mana daripada keadaan di atas berlaku, yuran tahunan yang telah dikenakan tidak akan dikembalikan oleh SEDA Malaysia.
  7. Keputusan SEDA Malaysia berkaitan permohonan sebagai Pelabur Solar PV Berdaftar di bawah Program NEM oleh SEDA Malaysia adalah muktamad dan sebarang rayuan tidak akan dilayan. Pemantauan oleh SEDA Malaysia akan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi tujuan pengesahan pematuhan.
  8. SEDA Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap ketepatan maklumat di dalam Direktori atau apa-apa kerosakan/kehilangan kepada mana-mana pihak yang timbul berkaitan dengan pendaftaran Pelabur Solar PV Berdaftar dalam Direktori ini. SEDA Malaysia juga tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa pertikaian terma komersial yang ditawarkan oleh Pelabur Solar PV Berdaftar kepada pelanggannya.
  9. Maklumat yang terdapat dalam Direktori ini juga tidak boleh ditafsirkan sebagai SEDA Malaysia mengiktiraf, menawarkan atau mencadangkan perkhidmatan oleh Pelabur Solar PV Berdaftar. Pelabur Solar PV Berdaftar juga tidak boleh dianggap sebagai wakil, agen atau sekutu SEDA Malaysia atau Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia (MESTECC).

 

KOD ETIKA BAGI PELABUR SOLAR PV BERDAFTAR DI BAWAH PROGRAM NET-ENEGRY METERING OLEH SEDA MALAYSIA

  1. Pelabur Solar PV Berdaftar hendaklah mematuhi dan meningkatkan kepentingan, integriti dan ketelusan industri Tenaga Boleh Baharu (TBB) dalam aktiviti-aktiviti perniagaan serta pengendalian dengan pelanggannya yang terdiri daripada individu mahupun perusahaan.
  2. Pelabur Solar PV Berdaftar hendaklah menjalankan kerja, aktiviti pengiklanan dan mempromosikan perkhidmatan, tawaran dan produk mereka dengan berintegriti dan telus serta hendaklah mengelakkan apa-apa kenyataan yang boleh mengelirukan atau memberi gambaran bahawa Pelabur Solar PV Berdaftar merupakan wakil, agen atau sekutu SEDA Malaysia atau Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia (MESTECC).
  3. Pelabur Solar PV Berdaftar hendaklah mengawal selia kesemua butiran, maklumat dan data pelanggannya dengan teliti dan kesemua butiran, maklumat dan data pelanggannya hendaklah dianggap sulit dan tidak boleh didedahkan kepada mana-mana pihak ketiga tanpa persetujuan daripada pelanggannya melainkan bagi tujuan tertentu oleh mana-mana pihak berkuasa berkaitan.

 

PELANGGARAN KOD ETIKA

  1. Pelabur Solar PV Berdaftar di bawah Program NEM oleh SEDA Malaysia telah melanggar Kod Etika apabila:
    1. terdapat aduan tentang perkhidmatan Pelabur Solar PV Berdaftar yang tidak mematuhi kod etika yang ditetapkan oleh SEDA Malaysia yang telah disahkan kesahihan aduan tersebut;
    2. SEDA Malaysia mendapati maklumat yang dikemukakan oleh Pelabur Solar PV Berdaftar adalah palsu, tidak tepat, tidak lengkap dan/atau menimbulkan keraguan; atau
    3. Pelabur Solar PV Berdaftar gagal untuk mematuhi mana-mana kod etika seperti yang disenaraikan di atas.
  2. Apabila berlaku mana-mana keadaan di perenggan 1, Pelanggaran Kod Etika, SEDA Malaysia akan menubuhkan satu Jawatankuasa bagi tujuan seperti berikut:
    1. menjalankan siasatan;
    2. meminta Pelabur Solar PV Berdaftar untuk memberi penjelasan tentang aduan yang diterima; dan
    3. membuat keputusan berkenaan salah laku Pelabur Solar PV Berdaftar tersebut.
  3. Keputusan yang akan diambil oleh Jawatankuasa adalah salah satu daripada yang berikut:
    1. Menyenaraihitam (blacklisting)
      1. Memberi amaran kepada Pelabur Solar PV Berdaftar untuk mematuhi dan membetulkan kemungkiran yang dilakukan dalam tempoh masa tidak melebihi empat belas (14) hari; dan
      2. Sekiranya Pelabur Solar PV Berdaftar tersebut gagal membetulkan kemungkiran dalam tempoh masa yang ditetapkan, SEDA Malaysia akan menyenaraihitam Pelabur Solar PV Berdaftar tersebut untuk suatu tempoh yang ditetapkan oleh SEDA Malaysia.
    2. Pembatalan (revocation)
      1. Menghantar notis kepada Pelabur Solar PV Berdaftar ke alamat berdaftar atau alamat perniagaan Pelabur Solar PV Berdaftar tersebut untuk memaklumkan hasrat SEDA Malaysia untuk membatalkan pendaftarannya;
      2. SEDA Malaysia boleh memberikan peluang kepada Pelabur Solar PV Berdaftar untuk membuat representasi secara bertulis berhubung pembatalan yang dicadangkan dalam tempoh masa tiga puluh (30) hari dari tarikh notis pembatalan diterima oleh syarikat tersebut;
      3. Setelah tamat tempoh tiga puluh (30) hari di atas, SEDA Malaysia, setelah mengambil kira sebarang jawapan yang diberikan oleh Pelabur Solar PV Berdaftar, memutuskan berdasarkan budi bicaranya, sama ada untuk membatalkan pendaftaran tersebut atau tidak; dan
      4. Keputusan yang dibuat oleh SEDA Malaysia akan dimaklumkan kepada Pelabur Solar PV Berdaftar secara bertulis.
  4. Permohonan pendaftaran semula oleh Pelabur Solar PV Berdaftar yang telah disenaraihitamkan atau dibatalkan adalah tertakluk kepada budi bicara SEDA Malaysia.

 

Penafian

SEDA Malaysia tidak akan bertangungjawab terhadap apa jua kerugian, kerosakan dan prosiding perundangan yang berpunca daripada kegagalan dan / atau ketakpatuhan oleh syarikat Pembekal Perkhidmatan Fotovolta (PV) Suria Berdaftar dalam mematuhi Kod Etika dan Tatakelakuan ini.

SEDA Malaysia

19 December 2018

SEDA Malaysia - Registered Solar PV Investor Directory